~ Kadang-kadang ALLAH jarakkan hubungan kita..kemudian DIA dtgkan pula dengan dugaan..puas kita menangis mencari mana teman kesayangan kita..rupa-rupanya ALLAH ingin hadiahkan kita KERINDUAN YANG BERPANJANGAN...~

~Orang sengaja memuji untuk menguji...Orang suka mengarah untuk lihat kita marah....Orang suka mengajuk untuk lihat kita merajuk....Orang sengaja dengki untuk lihat kita sakit hati...pandai2 la bawa diri... jgn ikutkan hati nanti mati, jangan ikutkan perasaan nanti binasa, gunakan AKAL supaya semua terkawal....Tetapkanlah hati ini..~

~Apabila dirimu memerlukan KEKASIH, maka pilihlah ALLAH....Apabila dirimu memerlukan RAKAN, maka pilihlah AL-QURAN...Apabila dirimu memerlukan SOKONGAN, maka BERTAWAKALLAH kepadaNYA sepenuh hati...kerana DIAlah PENJAGA HATI yang tidak akan pernah hilang malah akan terus KEKAL untuk setiap hambaNYA yang memerlukan~

~Apabila kita menahan sesuatu yang HARAM padahal kita berpeluang melakukannya, ALLAH akan menggantikannya dengan sesuatu yang HALAL dan yang HALAL itu, apabila tiba saatnya ia hadir, ia sangat INDAH.~

~Friendship isn't about who you've known the longest. It's about who walked into your life, said "I'm here for you" and proved it...~

~Jadilah seorang GURU yang hadirnya di TUNGGU, hilangnya di RINDU, ilmunya di BURU, nasihatnya di SERU dan tingkahlakunya di TIRU... ~

Wednesday, July 27, 2011

ke arah menghayati solat tarawih


Ke Arah Menghayati Solat Tarawih.
oleh


Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرَغِّبُ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ
مِنْ غَيْرِ أَنْ يَأْمُرَهُمْ فِيهِ بِعَزِيمَةٍ. فَيَقُولُ:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan
dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:
Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman (yang teguh)
dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.[1] 

Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehinggalah ke hari ini tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam bulan Ramadhan dengan bersolat Tarawih (صلاة التراويح), membaca al-Qur’an dan sebagainya. Terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan cara yang sebaik-baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pertama: Solat Tarawih hukumnya sunat.
Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih hukumnya tidak wajib. Para ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat (فقه الأولويات), iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.

Perlu digariskan bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia beri perhatian pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu dibezakan seperti berikut:
1. Amal yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.
2. Amal yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.
3. Amal yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil jumlahnya.
4. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.
Maka atas konsep Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara menjaga ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menjaga ibubapanya. Jika seseorang terpaksa memilih antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menuntut ilmu.

Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu melaksanakan solat Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih dengan bersolat di sisi ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya dalam rangka berehat sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu sendiri pada asalnya adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam perbincangan seterusnya.

Kedua: Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.
Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara bersendirian di rumah. Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

صُمْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ

فَلَمْ يَقُمْ بِنَا حَتَّى بَقِيَ سَبْعٌ مِنْ الشَّهْرِ.

فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ.

ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ.

فَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ
حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ اللَّيْلِ. فَقُلْتُ:
يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ.
قَالَ: إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ
كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ.

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan.
Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir.
Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam.
Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan).
Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan)
sehingga seperdua malam. Maka saya (Abu Dzar) berkata:
“Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.”
Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai
maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”[2]


Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:
1. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian.

2. Jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.” Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara berjamaah hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat sebagaimana yang telah disebut di atas.

Ketiga: Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih.
Jika dikaji semua riwayat berkenaan jumlah rakaat solat Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan generasi al-Salaf al-Shalih (generasi awal umat Islam) radhiallahu 'anhum selepas kewafatan baginda, dapat dirumuskan bahawa sebenarnya tidak ada ketetapan tertentu bagi jumlah rakaat solat Tarawih. Solat Tarawih termasuk dalam kategori solat sunat pada malam hari. Muhammad bin Nashr al-Mawarzi rahimahullah (294H) di dalam kitabnya Qiyam al-Ramadhan menyebut:

Aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal (rahimahullah 241H) tentang jumlah rakaat yang dia lakukan untuk solat Qiyam Ramadhan (قيام رمضان) (Solat Tarawih). Saat itu dia menjawab: “Dalam masalah ini ada kepelbagaian sehingga mencapai 40 macam. Ini kerana solat tersebut (Qiyam Ramadhan/Solat Tarawih) tidak lain hanyalah solat sunat biasa.[3]

Solat-solat sunat malam boleh dilaksanakan daripada selesai solat Isyak sehinggalah terbit fajar tanpa memiliki apa-apa batas minimum atau maksimum bagi jumlah rakaatnya. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan:

أَنَّ رَجُلاً جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَخْطُبُ.
فَقَالَ: كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ؟
فَقَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ
فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ تُوتِرُ لَكَ مَا قَدْ صَلَّيْتَ.

Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah.
Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?”
Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk,
maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.[4]


Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:

Sesungguhnya tentang solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih), Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tidak menentukan jumlah rakaatnya, hanya sahaja baginda sendiri melaksanakannya tidak lebih daripada 13 rakaat sama ada dalam bulan Ramadhan atau selainnya. Ini baginda laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila ‘Umar (radhiallahu 'anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjamaah (mengerjakan Solat Tarawih) dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu 'anh), dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat Witir 3 rakaat. Ini beliau lakukan dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan bacaannya.

Setelah itu sekumpulan daripada generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih) secara 40 rakaat dan solat Witir 3 rakaat manakala selainnya dengan 36 rakaat dan 3 rakaat Witir. Semua ini telah berlaku dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadhan dengan apa sahaja jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.

Yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan lama, maka adalah lebih afdal melaksanakan solat (Tarawih) dengan 10 rakaat dan 3 Witir sebagaimana yang dilaksanakan sendiri oleh Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat (Tarawih) dengan 20 rakaat adalah lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara 10 rakaat dan 40 rakaat.

Dan jika dilaksanakan solat (Tarawih) dengan 40 rakaat atau selainnya maka itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan oleh tidak seorang dari para imam seperti Imam Ahmad (bin Hanbal) dan selainnya. Dan sesiapa yang beranggapan bahawasanya solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah rakaatnya daripada Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan.[5]

Setelah menghimpun dan mensyarah semua hadis yang ada di dalam bab solat Tarawih, al-Syaukani rahimahullah (1252H) membuat rumusan:

Kesimpulannya, hadis-hadis di dalam bab ini (Solat Tarawih) menunjukkan kepada pensyari’atan melaksanakan solat pada malam bulan Ramadhan. Solat ini boleh dilaksanakan secara berjamaah atau sendirian. (Adapun) membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih” dengan jumlah rakaat yang tertentu dan mengkhususkannya dengan bacaan-bacaan tertentu tidak pernah ditunjuki oleh sunnah.[6]

Daripada nukilan-nukilan di atas, dapat dirumuskan beberapa poin penting:
1. Solat Tarawih sebenarnya adalah solat sunat malam. Ia hanya berbeza dari sudut istilah, tidak dari sudut hakikatnya. Oleh itu jumlah rakaat bagi solat Tarawih tidak ada batasnya sebagaimana kebiasaan solat sunat malam.
2. Membiasakan gelaran “Solat Tarawih” menyebabkan sebahagian orang menganggapnya sebagai solat sunat yang khusus. Dengan itu mereka juga mengkhususkan rakaat yang tertentu dan bacaan surah-surah yang tertentu pada rakaat yang tertentu. Sebenarnya pengkhususan ini adalah tidak berasas.
3. Seseorang itu, berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat dirinya sendiri, boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang sesuai dengan keadaannya. Masing-masing individu boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang dicenderunginya tanpa ada pihak yang boleh mengatakan itu benar atau salah.
Diketahui bahawa ada sebahagian pihak yang berpendapat bahawa solat Tarawih adalah 8 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini adalah lemah sebagaimana yang dibuktikan oleh Ismail al-Anshari dalam bukunya yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi. Ia telah diterjemahkan dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat terbitan Pustaka Firdaus, Jakarta 2003. Selain itu diketahui juga bahawa ada pihak yang berpendapat solat Tarawih adalah 20 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini juga adalah lemah sebagaimana yang telah penulis bahas dalam buku Solat Tarawih: Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa yang Menetapkannya Kepada 20 Rakaat terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2000.

Keempat: Beberapa sifat solat yang diremehkan.
Sebahagian orang apabila melaksanakan solat Tarawih atau mana-mana solat sunat yang lain, mereka meremehkan beberapa sifat solat atas alasan ini hanya solat sunat, bukan solat wajib. Sifat-sifat solat yang diremehkan ini ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkan terus solat tersebut. Di antara sifat solat yang diremehkan adalah:
a. Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil [al-Muzammil 73:04]

Membaca al-Qur’an dengan tartil bererti membaca dengan jelas kalimah-kalimahnya sambil memerhatikan disiplin hukum-hukum tajwidnya.

b. Meninggalkan bacaan Doa Iftitah dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.
Dengan anggapan ia hanyalah solat sunat, sebahagian orang ada yang tidak membaca Doa Iftitah sebelum membaca surah al-Fatihah. Sebahagian lain turut meninggalkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an selepas membaca surah al-Fatihah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika mendirikan solat fardhu atau solat sunat tidak pernah meninggalkan kedua-dua bacaan ini. Oleh itu janganlah kita meremehkannya kerana ini termasuk sunnah-sunnah yang penting di dalam solat.

c. Mengabaikan Thama’ninah.
Mengabaikan thama’ninah, yakni kekal di dalam sesuatu pergerakan solat sehingga merasa tenang di dalamnya, bukan sahaja mengurangi kualiti solat tetapi boleh mengakibatkan terbatalnya. Abu Hurairah radhiallahu 'anh meriwayatkan bahawa pada satu ketika pernah seorang lelaki bersolat di dalam masjid sambil diperhatikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila lelaki itu selesai bersolat, baginda menyuruh dia bersolat semula dengan bersabda:

“Kembalilah bersolat kerana sesungguhnya kamu masih belum bersolat.”
Hal ini berulang sebanyak 3 kali sehingga akhirnya lelaki itu mengakui bahawa dia tidak tahu
bagaimana lagi untuk membetulkan solatnya. Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengajar dia dengan bersabda:


إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ
فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ
ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا  
ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا  
وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا.



Apabila kamu berdiri untuk solat,
bertakbirlah, kemudian baca daripada al-Qur’an apa yang memudahkan bagi kamu.
Kemudian rukuklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah),
kemudian berdirilah semula sehingga kamu tegak di dalamnya,
kemudian bersujudlah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah),
kemudian duduklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah)
dan lakukanlah sedemikian bagi keseluruhan solat kamu.[7]

Penekanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kekal di dalam setiap pergerakan solat sehingga merasa tenang (thama’ninah) menunjukkan bahawa itulah kesilapan yang dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga menyebabkan solatnya tidak dikira sah oleh Rasulullah. Thama’ninah juga disyaratkan kita iktidal sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu Humaid radhiallahu 'anh:

فَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ اسْتَوَى
حَتَّى يَعُودَ كُلُّ فَقَارٍ مَكَانَهُ.

Apabila baginda mengangkat kepalanya (daripada rukuk), baginda berdiri
sehingga setiap daripada kepingan tulang belakangnya berada di posisi yang asal.[8]


Ada yang berpendapat lamanya tempoh thama’ninah adalah sekadar seseorang membaca “Alhamdulillah” atau “Subhanallah”, akan tetapi pendapat ini tidak diperoleh dalilnya. Yang dicenderungi sebagai sesuatu yang mendekati kebenaran adalah bahawa thama’ninah itu wajib mengekalkan seseorang itu dalam satu posisi secara tenang sehingga dia dapat melengkapkan seluruh bacaan tasbih atau doanya. Ini kerana seseorang itu tidak dapat dikatakan telah rukuk atau iktidal atau sujud dengan dia dapat menyempurnakan bacaannya dalam posisi tersebut. Ibn Taimiyah berkata:

Tempoh thama’ninah dalam rukuk dan sujud adalah lebih kurang selama 3 kali bacaan tasbih. Sebab menurut sunnah, pada waktu rukuk dan sujud bacaan tasbih adalah 3 kali dan itu adalah yang paling minima, maka lamanya tempoh thama’ninah adalah sekurang-kurangnya (dilengkapkan ) 3 kali bacaan tasbih.[9]

d. Bersolat dengan terburu-buru.
Antara perbuatan yang tidak disukai dalam solat, sama ada solat wajib mahupun solat sunat, ialah terburu-buru dalam melaksanakannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.
[al-Mu’minun 23:1-2]

Khusyuk di dalam solat bukan sekadar prihatin kepada bacaan-bacaannya tetapi juga kepada pergerakan-pergerakan solat sehingga dapat memelihara kesempurnaannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan:

فَأَتِمُّوا الرُّكُوعَ وَالسُّجُودَ, فَإِنَّ مَثَلَ الَّذي
لاَ يُتِمُّ رُكُوعَهُ وَلاَ سُجُودَهُ مَثَلُ الجَائِعِ  
لاَ يَأْكُلُ إِلاَّ التَّمْرَةَ وَالتَّمْرَتَيْن لاَ تُغْنِيَانِ عَنْهُ شَيْئاً.

Sempurnakanlah rukuk dan sujud kerana sesungguhnya perumpamaan orang
yang tidak menyempurnakan rukuknya dan sujudnya adalah seperti orang yang lapar,
tidaklah dia makan kecuali satu atau dua biji kurma yang tidak mencukupkannya sama sekali
(maksudnya – tidak mendapat apa-apa manfaat daripada solatnya).[10]


e. Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.
Ramai yang berpendapat selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam bacaan tasyahud hanya wajib sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” manakala bacaan selebihnya sehingga “Fil ‘Alamina innaka hamidun majid” hanyalah sunat. Atas pendapat ini ada yang melaksanakan solat Tarawih dengan diringkaskan bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Sebenarnya tidak ada dalil yang menyatakan bahawa bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam solat boleh dibezakan antara yang wajib dan sunat, antara duduk tasyahud awal dan duduk tasyahud akhir. al-Shan‘ani rahimahullah (1186H) menegaskan:

Selawat bagi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (di dalam solat) adalah tidak sempurna tanpa disertai selawat terhadap keluarga baginda. Orang yang bersolat hanya dianggap telah berselawat kepada Nabi apabila dia mengucapkan lafaz selawat secara lengkap sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di mana di dalamnya termasuk selawat kepada keluarga baginda. Hal ini berdasarkan (hadis di mana) sahabat bertanya: “Bagaimana kami mengucapkan selawat kepada kamu?” Lalu baginda menjawab dengan menjelaskan bahawa cara selawat adalah selawat ke atas dirinya dan ahli keluarganya.

Sesiapa yang tidak mengucapkan selawat bagi keluarga baginda (di dalam solat) maka bererti dia belum mengucapkan selawat yang sesuai dengan cara selawat yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, bererti dia belum melaksanakan perintah dengan sebenarnya. Oleh itu dia belum termasuk orang yang berselawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Begitu juga dengan lanjutan hadis mulai dari “Kama sholaita……” dan seterusnya, ia wajib dibaca kerana termasuk yang diperintahkan daripada bacaan selawat tersebut.

Sesiapa yang membezakan antara bacaan-bacaan selawat dengan mengatakan wajib sebahagian sahaja dan sunat sebahagian yang lain, maka itu adalah pendapat yang tidak memiliki dalil.[11]

f.  Tidak menjaga disiplin berjamaah
Termasuk beberapa sifat solat yang diremehkan ialah tidak menjaga disiplin berjamaah apabila melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah. Antara disiplin yang lazim diremehkan ialah melurus dan merapatkan saf. Melurus dan merapatkan saf merupakan ciri kesempurnaan solat berjamaah manakala merenggangkan saf bererti membuka ruang bagi syaitan masuk di antaranya. Disiplin solat berjamaah yang lain yang perlu diperhatikan ialah mengikuti imam tanpa mendahuluinya atau ketinggalan daripadanya. Ketahuilah bahawa solat berjamaah adalah lambang kesatuan umat Islam. Apabila ahli-ahli jamaah tidak berdisiplin dalam menjaganya, ia memberi gambaran akan betapa lemahnya kesatuan umat.

Demikian beberapa sifat solat yang lazimnya diremehkan, di antaranya ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkannya terus. Yang penting, hendaklah setiap individu Muslim yang melaksanakan solat peka bahawa dia sedang bermunajat kepada tuhannya, Allah 'Azza wa Jalla. Maka hendaklah dia memerhatikan adabnya apabila sedang bermunajat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegur seorang lelaki tentang solatnya:

يَا فُلاَنُ أَلاَ تَتَّقِي اللهَ؟ 
أَلاَ تَنْظُرُ كَيْفَ تُصَلِّي؟
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ يُصَلِّي إِنَمَا يَقَوْمُ
يُنَاجِي رَبَّهُ فَلْيَنْظُرْ  
كَيْفَ يُنَاجِيْهِ.

Wahai fulan, apakah kamu tidak takutkan Allah?
Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana kamu solat?
Sesungguhnya apabila seseorang kamu melaksanakan solat sesungguhnya dia tidak lain
berdiri bermunajat kepada tuhannya. Maka hendaklah dia
memerhatikan bagaimana dia bermunajat (kepada-Nya).[12]


Kelima: Berzikir di antara solat Tarawih
Ini adalah antara amalan yang dipandang baik oleh orang ramai padahal Allah dan Rasul-Nya tidak pernah memandang baik untuk berzikir dengan bacaan atau cara tertentu apabila sedang berehat di antara solat Tarawih. Seandainya berzikir apabila sedang berehat di antara solat Tarawih adalah sesuatu yang baik, maka pasti Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya sehingga dilaksanakan sepenuhnya oleh generasi awal umat Islam. Namun anjuran ini tidak pernah wujud dan perlaksanaannya juga tidak pernah diketahui, justeru siapakah kita untuk menentukan apa yang baik atau buruk di sisi Allah?

Waktu berehat di antara solat tarawih boleh dimanfaatkan untuk apa jua amalan yang baik. Akan tetapi tidak boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian daripada kaifiat solat Tarawih yang disyari‘atkan.

Sememangnya diketahui alasan yang diberikan adalah, berzikir adalah lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa langsung. Ia dianjurkan dalam suasana umat Islam masa kini yang dilanda kemalasan untuk berzikir. Sebenarnya ini adalah alasan yang biadap terhadap Allah dan Rasul-Nya, seolah-olah Allah dan Rasul-Nya leka daripada mensyari‘atkan apa yang baik kepada manusia. Yang benar agama Islam telah lengkap, yang tidak lengkap adalah ilmu dan pelaksanaannya oleh umat. Akibat jahil daripada apa yang sebenarnya disyari‘atkan, umat Islam mula mencipta apa yang baik di sisi teori mereka, seolah-olah agama ini adalah milik mereka untuk diubah suai dan ditokok tambah.

Nasihat penulis kepada para pembaca sekalian, tinggalkanlah sunnah kebiasaan masyarakat dan kembalilah kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Peganglah ia dengan teguh dan beramallah dengannya kerana ia dijamin oleh Allah sebagai sesuatu yang benar-benar baik. Berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah beramal dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah dan tidak beramal dengan apa yang tidak diamalkan oleh Rasulullah.

 

[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya - hadis no: 759 (Kitab Solat, Bab Anjuran beribadah pada malam Ramadhan…)
[2]               Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i – hadis no: 1604 (Kitab Solat malam, Bab Solat Malam pada bulan Ramadhan)
[3]               Dinukil daripada buku Ismail al-Anshari yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi; edisi terjemahan oleh Mahfud Hidayat dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat (Pustaka Firdaus, Jakarta 2003), ms. 83
[4]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya - hadis no: 473 (Kitab Solat, Bab Duduk berlingkaran dalam masjid).
Pihak yang menetapkan solat Tarawih kepada rakaat tertentu berhujah bahawa hadis di atas tidak merujuk kepada perbincangan rakaat tetapi merujuk kepada waktu menunaikan solat-solat sunat malam. Hujah ini adalah lemah dan tertolak dari dua sudut:
1.        Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merujuk kepada persoalan tentang kaifiat (tatacara) solat-solat sunat malam. Perbincangan tentang jumlah rakaat termasuk dalam keumuman kaifiat solat.
2.        Seandainya jumlah rakaat solat-solat sunat malam memiliki ketetapan, sudah tentu ia termasuk hal penting yang akan dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika menjawab persoalan tersebut. Ini kerana hal yang penting tidak boleh ditangguh atau dilengah-lengahkan penjelasannya. Apabila Rasulullah tidak menjelaskannya, sama ada dalam hadis ini atau hadis-hadis yang lain, bererti ia sememangnya tidak memiliki ketetapan.
[5]               Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 22, ms. 272
[6]               Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar (Dar al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 2, ms. 269
[7]               Shahih al-Bukhari – hadis no: 757 (Kitab Azan)
[8]               Shahih Bukhari – hadis no: 0828 (Kitab Azan)
[9]               Dinukil daripada buku Fatawa Mu‘ashirah (edisi terjemahan oleh al-Hamid al-Husaini dengan judul Fatwa-Fatwa Mutakhir; Pustaka Hidayah, Bandung 1996), ms. 415
[10]             Sanad Jayyid (baik): Dikeluarkan oleh Abu Ya’la di dalam Musnadnya – hadis no: 7184 dengan sanad yang dinilai jayyid oleh Husain Salim Asad
[11]             Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Dar al-Arqam, Beirut), jld. 1, ms. 219. Untuk hadis-hadis yang mengajar cara berselawat yang lengkap, rujuk buku penulis Marilah Berselawat Kepada Rasulullah terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2002.
Dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah (al-Fath li I’lam al-Arabi, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 203 (Bab: Disunatkan meringkaskan tasyahud awal), al-Sayid Sabiq menulis:

Dan disunatkan untuk meringkaskannya padanya (bacaan & duduk tasyahud awal) kerana diterima daripada Ibn Mas’ud (radhiallahu 'anh) dia berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah seperti duduk di atas bara yang panas” Riwayat Ahmad dan para ahli sunan dan berkata al-Tirmizi, hadis hasan kecuali bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.

Berkata al-Tirmizi: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini di sisi ahli ilmu, mereka memilih untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan tidak ditambah atas bacan tasyahud apa-apa.”

Dan berkata Ibn al-Qayyim: “Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berselawat ke atas dirinya mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak baginda meminta perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan, fitnah kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk membaca yang) sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan kemutlakan, sungguh yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.”

Sekian al-Sayid Sabiq. Daripada kata-kata di atas, seolah-olah dibolehkan meringkaskan bacaan selawat dalam solat ketika duduk tasyahud pertama. Yang benar tidaklah demikian. Berikut adalah penelitian lanjut ke atas kata-kata al-Sayid Sabiq:

Pertama: Hadis Ibn Mas‘ud.
Hadis yang berbunyi: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah duduk di atas bara yang panas” adalah dhaif kerana sanadnya terputus. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Tirmizi dan dinukil sendiri oleh al-Sayid Sabiq.

Telah berkata al-Tirmizi: “Hadis hasan kecuali bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.” Rujuk Sunan al-Tirmizi – hadis no: 364 di mana gelaran sebenar bagi ‘Ubaidah ialah Abi ‘Ubaidah. Hadis ini juga dikeluarkan oleh Ahmad (1/428 & 460), Abu Daud (995) dan al-Nasai (1170), semuanya melalui jalan periwayatan yang berpangkal kepada Abi Ubaidah.

Abi ‘Ubaidah, beliau ialah ‘Ubaidah bin ‘Abd Allah bin Mas‘ud, anak kepada ‘Abd Allah ibn Mas’ud. Al-Mubarakfuri menukil daripada al-Hafiz al-Munziri bahawa ‘Amr bin Marh pernah bertanya kepada ‘Ubaidah: “Pernahkah anda menyebut apa-apa daripada ‘Abd Allah (ayahnya)?” ‘Ubaidah menjawab: “Aku tidak pernah menyebut (meriwayatkan daripada ayahku) apa-apa.” [Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmizi (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 2, ms. 301]

Namun hadis Ibn Mas‘ud ini memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Tamim bin Salamah, yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah bahawa Abu Bakar radhiallahu 'anh: “Apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah seperti duduk di atas bara yang panas” Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’ie al-Kabir: “Isnadnya sahih.” Ini dinukil oleh al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi, jld. 2, ms. 302. Oleh itu penilaian hasan oleh al-Tirmizi tidak sahaja dengan merujuk kepada hadis Ibn Mas‘ud tetapi juga perbuatan seorang sahabat yang lain, iaitu Abu Bakar radhiallahu 'anh.

Setelah sabit darjat hadis, kita beralih kepada matannya pula. Kata-kata “seperti duduk di atas bara yang panas” adalah kiasan bagi menunjukkan duduk yang tidak lama. Yang perlu dikaji sekarang ini adalah lama dari ukuran siapa? Ini kerana lama atau tidak adalah sesuatu yang relatif. Memandangkan hadis di atas merujuk kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka kita menggunakan solat baginda sebagai skala ukuran.

Sesiapa yang lazim membaca hadis-hadis tentang tatacara baginda bersolat, nyata bahawa qiyamnya, rukuknya, sujudnya dan sebagainya adalah amat lama. Termasuk sifat solat baginda ialah duduk lama apabila membaca tasyahud akhir. Ini kerana baginda berdoa di akhir tasyahud sebelum beri salam. Perlu digariskan bahawa sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam berdoa bukanlah setelah selesai solat sepertimana yang lazim kita lakukan, tetapi berdoa selepas bacaan tasyahud dan sebelum beri salam. Oleh itu duduk membaca tasyahud akhir bagi baginda memang amat lama.

Jika hal ini jelas kepada kita, fahamlah bahawa perbandingan yang dilakukan oleh Ibn Mas‘ud ialah antara duduk tasyahud awal dan akhir. Jelas bahawa daripada pengamatan beliau, duduk pada tasyahud awal bagi Rasulullah adalah lebih pendek tempoh berbanding tasyahud akhir. Namun adakah lebih pendek bererti baginda meringkaskan bacaan selawatnya?

Tidak boleh dirumuskan demikian kerana hadis di atas tidak bersifat membezakan antara bacaan selawat yang dibaca. Yang dibezakan hanya tempoh duduk. Berdasarkan analisa kepada sifat solat baginda secara keseluruhannya, dapat diketahui bahawa yang menyebabkan perbezaan tempoh adalah sama ada baginda membaca doa di akhir selawat atau tidak. Bagi duduk tasyahud akhir, baginda sememangnya diketahui membaca doa sebelum memberi salam. Manakala bagi duduk tasyahud awal baginda tidak membaca doa, maka kerana itulah duduk baginda lebih pendek tempohnya. Oleh itu hadis Ibn Mas‘ud di atas bukan dalil bagi membezakan antara selawat ringkas dan selawat penuh antara tasyahud awal dan tasyahud akhir.

Kedua: Kata-kata al-Tirmizi.
Berkata al-Tirmizi setelah mengeluarkan hadis di atas: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini di sisi ahli ilmu, mereka memilih untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan tidak ditambah atas bacan tasyahud apa-apa.” Tumpuan kita adalah kepada kata-kata: “……..dan tidak ditambah atas bacaan tasyahud apa-apa”.
·         “…..Tidak ditambah…..” merujuk kepada apa-apa doa selepas itu, yakni ia tidak dibaca dalam tasyahud awal.
·         “…..atas bacaan tasyahud apa-apa” merujuk kepada bacaan tasyahud yang diajar oleh Rasulullah. Di sini, semua hadis baginda yang menerangkan bacaan tasyahud dan selawat adalah secara penuh tanpa ada selawat yang ringkas.
Oleh itu, kata-kata al-Tirmizi juga bukan hujah untuk membezakan antara selawat ringkas dan selawat penuh antara tasyahud awal dan tasyahud akhir.

Ketiga: Kata-kata Ibn al-Qayyim.
Kata-kata Ibn al-Qayim yang dinukil oleh al-Sayid Sabiq diambil daripada kitab Zaad al-Ma’ad (Muassasah al-Risalah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 198:

Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berselawat ke atas dirinya mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak baginda meminta perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan, fitnah kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk membaca yang) sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan kemutlakan, sungguh yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.

Perhatian ditujukan kepada kata-kata beliau: “Tidak dinaqal (dinukil) bahawasanya Nabi……”. Kaedah usul fiqh menyatakan, apabila bertembung antara penafian dan penetapan, hendaklah diunggulkan penetapan. Ini kerana penafian adakalanya berlaku kerana ketidaktahuan atau sememangnya penetapan tersebut tidak memerlukan sebarang penafian.

Merujuk kepada kata-kata Ibn al-Qayyim di atas, beliau menafikan wujudnya apa-apa riwayat daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda berselawat atas dirinya dan ahli keluarganya dalam tasyahud awal. Bererti  - mengikut ijtihad Ibn al-Qayyim – baginda langsung tidak membaca selawat pada tasyahud awal. Namun penafian Ibn al-Qayyim tetap perlu dianalisa berdasarkan kaedah usul fiqh di atas. Dalam bab ini kita ada hadis yang menetapkan bacaan tasyahud dan selawat secara penuh. Hadis-hadis ini tidak ada yang menerangkan bahawa dalam tasyahud awal bacaan selawat boleh dipisahkan. Maka apa yang ditetapkan oleh hadis-hadis yang sahih diunggulkan di atas penafian Ibn al-Qayyim. Ini kerana penafian beliau mungkin berakibat daripada ketidaktahuannya terhadap kewujudan riwayat tersebut.

Wujud kemungkinan kedua di mana dalam bab ini sememangnya tidak ada riwayat. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sememangnya tidak membezakan bacaan selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Apabila tidak wujud perbezaan, maka tidak perlu untuk para sahabat meriwayatkan sesuatu yang menerangkan perbezaannya. Di sini kaedah usul fiqh menyatakan, apabila terhadap sesuatu perkara tidak wujud riwayat yang menerangkan tentangnya, maka perkara tersebut dikembalikan kepada dalil yang paling dekat kepadanya. Dalam bab ini, dalil yang terdekat ialah hadis-hadis yang menerangkan bacaan tasyahud dan selawat secara lengkap tanpa membezakan antara tasyahud awal dan akhir.

Oleh itu sekali lagi, kata-kata Ibn al-Qayyim tidak dapat dijadikan hujah bahawa selawat pada duduk tasyahud awal hanya sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” atau tidak perlu dibaca langsung.

Rumusan:
Demikian sedikit penelitian ke atas kata-kata al-Sayid Sabiq daripada kitabnya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah. Apabila al-Sayid Sabiq berkata: “Dan disunatkan untuk meringkaskannya padanya (bacaan & duduk tasyahud awal)…..” secara zahir beliau tidak bermaksud meringkaskan bacaan selawat kecuali apabila berhadapan dengan kata-kata Ibn al-Qayyim.

al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (757H) adalah seorang tokoh yang memang amat luas ilmunya, anak murid kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H). Beliau telah berijtihad dalam bab membezakan bacaan selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Akan tetapi ini tidaklah bermakna kita tidak boleh menganalisa dan mengkaji apa yang beliau ijtihadkan. Kita menghormati dan menyayangi beliau, tetapi Allah dan Rasul-Nya lebih kita hormati dan sayangi.
[12]             Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 474 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami

No comments:

Post a Comment