BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
HADIS 5
AMALAN YANG TERTOLAK
Ummul Mukminin, Ummu Abdillah, Aisyah r.ha berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa mengada-ngadakan yang baru (bidaah) dalam urusan (agama) kami ini, amalan yang bukan bahagian daripadanya, dia tertolak,"
[Riwayat al-Bukhari no.2550, Muslim no.4589 dan Abu Daud no 4608]
Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan :
"Sesiapa mengerjakan suatu amal yang bukan berdasarkan perintah kami, dia tertolak."
HURAIAN
Hadis ini merupakan salah satu pedoman penting dalam agama Islam dan kalimah pendek yang penuh pengertian yang dikurniakan kepada Nabi SAW.
Hadis ini dengan tegas menolak setiap perkara bidaah dan setiap perkara (dalam urusan agama) yang direka dan diada-adakan. Sebahagian usul fiqah menjadikan hadis ini setiap dasar kaedah bahawa setiap yang terlarang dinyatakan sebagai hal yang merosakkan.
MAKNA BIDAAH
Bidaah ialah perbuatan-perbuatan yang dinilai ibadah tetapi tidak bersumber daripada ajaran Islam dan tidak memiliki landasan yang jelas. Setiap perbuatan ibadah yang tidak bersandar pada dalil syar'i ditolak daripada pelakunya.
Islam adalah agama yang berdasarkan ittibak (mengikut berdasarkan dalil) dan bukan ibtidak (mengada-ngadakan sesuatu tanpa dalil) dan Rasulullah SAW telah berusaha menjaganya daripada sikap berlebih-lebihan dan mengada-ngadakan.
"Agama Islam ialah agama yang sempurna dan tidak ada kurangnya"
Hadis ini patut dihafal, disebarluaskan dan digunakan sebagai bantahan terhadap kaum yang ingkar, kerana isinya mencakup semua hal. Adapun hal-hal yang tidak merupakan pokok agama sehingga tidak dilarang dalam sunnah, maka tidak tercakup dalam larangan ini seperti menulis al-Quran dalam mushaf walaupun Rasulullah SAW tidak pernah menulis al-Quran.
Begitu juga membukukan pendapat ahli fiqah yang bertaraf mujtahid yang menerangkan alasan-alasan masaalah furuk daripada pokoknya, iaitu sabda Rasulullah SAW.
Demikian juga mengarang kitab-kitab nahu, ilmu perkiraan faraid dan sebagainya yang semuanya bersandar kepada sabda Rasulullah SAW dan perintahnya. Kesemua usaha ini tidaklah termasuk dalam ancaman hadis tersebut. Malah sebahagian ulama mengistilahkan ianya sebagai bidaah hasanah (pembaharuan yang baik)
Pekerjaaan yang berhubungan dengan kehidupan dunia seperti perniagaan, pertanian, ekonomi, perusahaan, teknologi dan sebagainya tidaklah termasuk dalam pengertian hadis ini.
Oleh itu, tidaklah dilarang mengadakan apa-apa cara atau peraturan baru yang lebih sesuai dengan zaman kontemporari yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAWselagi tidak ada keterangan daripada al-Quran dan hadis yang melarangnya.
WALLAHUALAM~
KLIK UNTUK MELIHAT HADIS-HADIS YANG LAIN
No comments:
Post a Comment